Sebahagian penuntut tajaan Petronas di Amerika Syarikat.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lebih 36,000 penuntut peringkat pengajian tinggi mendapat manfaat daripada Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) dengan peruntukan melebihi RM3 bilion sejak diperkenalkan sejak tahun 1975.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 12,641 pelajar dari Sabah menerima manfaat PESP membabitkan peruntukan RM213.11 juta.

Manakala seramai 12,815 pelajar dari Sarawak turut menerima faedah PESP dengan peruntukan RM411.66 juta.

Sejak tahun 2010, secara keseluruhannya seramai 3,426 penuntut telah menerima tajaan di bawah PESP yang melibatkan kos sebanyak RM874.3 juta.

”Bagi pelajar-pelajar negeri Sabah dan Sarawak, ianya membabitkan seramai 575 orang pelajar (17 peratus) dengan kos tajaan melebihi RM100 juta.

“Di negeri Sabah, seramai 245 orang pelajar telah mendapat tajaan, daripada jumlah tersebut, seramai 163 orang pelajar ditaja untuk mengikuti pengajian di universiti tempatan dan 82 orang pelajar ditaja untuk pengajian di universiti luar negara.

“Bagi negeri Sarawak pula, seramai 330 orang pelajar telah mendapat tajaan dengan seramai 234 orang pelajar ditaja untuk mengikuti pengajian di universiti tempatan dan 96 orang pelajar ditaja untuk mengikuti pengajian di universiti luar negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari (PH) yang bertanya sama ada kelebihan diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak untuk memohon penajaan pendidikan pengajian tinggi Petronas.

Menjawab soalan tambahan, Arthur berkata, bantuan penajaan pendidikan daripada Petronas kepada pemohon yang layak dari segi merit dan tiada kelebihan termasuk kuota istimewa diperuntukkan kepada negeri pengeluar minyak utama negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada tahun ini, katanya, Petronas menerima 10,000 permohonan bagi program PESP dan hanya lebih kurang 400 pemohon yang akan menerima tajaan.

Bidang-bidang pengajian tajaan Petronas ini kebanyakannya adalah di dalam bidang berkaitan STEM dan membabitkan IPTA/IPTS yang terkemuka. – MalaysiaGazette