Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) Sungai Besar tidak akan bertolak ansur dengan rakan baharunya, Bersatu sekiranya Muslimin Yahaya diletakkan sekali lagi sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak menolak kemungkinan akan berlaku ‘pemberontakan’ sekiranya Bersatu berdegil meletakkan bekas calon Pakatan Harapan (PH) itu.

Ini kerana kemenangan Muslimin pada PRU-14 lalu adalah melalui bantuan DAP yang kini menjadi musuh politik kepada Bersatu.

“Saya bagi tahu di atas sana (pucuk pimpinan UMNO) kalau ini berlaku, maka berlaku sesuatu ‘pemberontakan’ di Sungai Besar kita tidak mahu untuk kali kedua calon PH menang sekali lagi.

“Siapa calon akan diketengahkan (nanti)? (sudah pasti) Ng Suee Lim daripada DUN Sekinchan. Kita nak tengok wakil rakyat kita, ahli Parlimen Sungai Besar ini daripada DAP? Takkan mungkin kita buat,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan Sungai Besar semalam.

Selain itu, Jamal juga mengumumkan ‘perang’ secara terbuka terhadap Muslimin selaku Ahli Parlimen Sungai Besar daripada Bersatu itu di mana UMNO Bahagian Sungai Besar memutuskan sebarang kerjasama dengan wakil rakyat itu.

“UMNO Bahagian Sungai Besar sudah bermesyuarat dan membuat keputusan untuk memutuskan sebarang kerjasama dengan Muslimin.

“Kita tak boleh terima (Muslimin dalam MN). Selama 22 bulan jadi wakil rakyat ada dia bantu kita? Ketika bahagian kita ini ditimpa bencana, ribut, bumbung-bumbung rumah terbang, ada dia datang?

“Dia (Muslimin) datang kepada penyokong dia (Bersatu),” katanya.

Katanya lagi, sebagai langkah memastikan Parlimen Sungai Besar tidak jatuh ke tangan PH dan DAP, beliau sendiri menawarkan diri sebagai calon wakil rakyat pada PRU-15.

“Walaupun saya tidak mahu jadi calon pilihan raya (PRU-14) tapi kerana memikirkan tanggungjawab ini, bukannya mudah. Dulu bolehlah sudah tetap kerusi kita.

“Awal-awal lagi saya kata kepada mereka, saya mencalonkan diri saya untuk calon PRU-15 P093, poster pun saya sudah buat, kain rentang pun saya sudah siap buat.

“Orang kata saya gila, dulu pun orang kata saya gila…saya gila kerana perjuangan…saya gila kerana UMNO Sungai Besar. Saya tidak rela sekali lagi PH menang dekat Sungai Besar ini. Muslimin bukan daripada UMNO, Muslimin khianat kita, saya tak punya pilihan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.