KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat petang ini kecoh dengan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) 2020 oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pembangkang yang mendesak supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengemukakan senarai kontrak tanpa tender kepada awam, mendapat bantahan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan yang menganggap ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan sebelum ini, juga tidak berbuat demikian.

Kekecohan antara kedua-dua pihak itu menyebabkan penggulungan Tengku Zafrul terganggu sehingga Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun cuba menenangkan keadaan untuk memberi laluan kepada Menteri Kewangan menghabiskan ucapan.

Keadaan gagal dikawal, apabila perang mulut antara pihak kerajaan dengan pembangkang cuba mempertahankan Menteri Kewangan dan bekas Menteri Kewangan masing-masing.

Azhar Azizan yang dilihat hilang sabar, meninggikan suara meminta semua Ahli Parlimen duduk dan tidak membenarkan sesiapa mencelah, selagi Tengku Zafrul tidak menghabiskan ucapan penggulungan.

“Saya tak benarkan pencelahan lagi. Kita sedang berbahas RUU Covid-19,” katanya yang cuba menenangkan keadaan dan memberi peluang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencelah.

Anwar bangun menyatakan, beliau bersetuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam dan sama ada ketika (kerajaan) PH atau Perikatan Nasional (PN)

“Saya bukan menteri, menteri di depan saya. Menteri PN di depan saya. Biar dia jawab, kenapa saya nak kena jawab?,” soal Anwar dengan nada meninggikan suara.

Azhar Azizan turut memberi peluang kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencelah dan Menteri Kanan itu menyatakan, perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Port Dickson menyatakan menteri sepatutnya menjawab.

“Menteri kita (Tengku Zafrul) sudah memberikan butiran dan bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara yang sama, jumlahnya RM6 bilion, dan tidak betul YB Bagan (Lim Guan Eng) kata Kabinet baru. Ketika PH, mana ada pembentangan senarai (ketika ini celahan Mohamed Azmin diganggu dengan jeritan pembangkang).

Speaker Dewan Rakyat cuba menenangkan keadaan dengan meminta semua Ahli Parlimen duduk diam.

Ketika Tengku Zafrul hendak menyambung ucapannya, pembangkang melaung dan menjerit sehingga Azhar Azizan mengarahkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham keluar dewan.

Tengku Zafrul mengakhiri ucapannya dengan pepatah yang berbunyi, bulat air kerana pembentong, bulat manusia kerana muafakat.

“Mengambil pedoman dari pepatah ini, saya yakin setiap Yang Berhormat menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sehabis baik untuk kita sama-sama menyokong RUU ini.

“Marilah seiring dalam sokongan kita, serumpun bab serai, tersusun bak sirih. Dalam dewan yang mulia ini, yakinlah bahawa kerajaan telah membuktikan, bila mana rakyat memerlukan, kerajaan bersedia melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya. – MalaysiaGazette