Pengurusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika hadir di Majlis Pencapaian Prasarana Pada 2019 dan 2020 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 24 Ogos 2020.

KUALA LUMPUR –  Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diharap dapat menjadi syarikat pengangkutan awam yang tidak terlalu bergantung dengan kerajaan daripada aspek perbelanjaan operasi.

Justeru menurut pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, syarikat berkenaan perlu berusaha untuk sentiasa tampil dengan idea inovasi terbaharu agar dapat menambahbaik soal pengurusan.

“Pengurusan Prasarana telah diberikan mesej yang jelas oleh saya sebagai pengurus kita hendak melihat kalau boleh satu masa nanti Prasarana dapat beroperasi tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan daripada segi membiayai perbelanjaan operasi dan lain perbelanjaan dan menjadikan pengurusan Prasarana lebih efisien daripada keadaan yang dicapai hari ini.

“Sebab itu, digalakkan usaha-usaha inovasi penemuan-penemuan cara baharu, kaedah baharu teknologi baru yang boleh meningkatkan pengurusan syarikat,” katanya ketika berucap pada majlis pembentangan pencapaian Prasarana bagi tahun 2019 dan focus pengurusan pada tahun ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Muhammad Nizam Alias.

Terdahulu Tajuddin memuji komitmen yang diberikan oleh seluruh kakitangan Prasarana dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna sentiasa memuaskan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya ketika Covid-19.

“Saya berasa bangga dengan komitmen yang diberikan dan percaya selepas ini nanti apabila wabak Covid-19 berakhir mudah-mudahan Prasarana akan kembali pulih seperti sedia kali dapat memberikan perkhidmatan pengangkutan awam kepada ramai penumpang-penumpang awam yang akan memerlukan perkhidmatan rail dan bas contohnya,” kata beliau.

Ujar Tajuddin, prestasi Prasarana yang konsisten memberi perkhidmatan baik kepada penggunanya perlu dibanggakan. -MalaysiaGazette