Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Penganugerah projek bernilai RM6.61 bilion yang dilakukan menerusi rundingan terus semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) merupakan satu bentuk rompakan harta rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan ia sebagai penipuan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia lebih terselah apabila Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed  Azmin Ali bangun menyanggah beliau di Dewan Rakyat bahawa 101 projek rundingan terus terbabit tidak pernah dibincangkan di Kabinet.

“Pemuda UMNO dengan ini mendesak agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat perkara ini agar sebarang penyelewengan dapat dibongkarkan buat pengetahuan rakyat,” katanya sambil menambah Pemuda UMNO memandang serius pendedahan yang menggemparkan di Parlimen hari ini.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sepanjang pemerintahan kerajaan PH, sebanyak 101 projek dengan perolehan berjumlah RM6.61 bilion telah ditawarkan secara rundingan terus.

Pendedahan itu menyebabkan Ahli Parlimen kerajaan mendesak bekas Guan Eng menjelaskan kepada awam berhubung peruntukan yang begitu besar dilakukan secara rundingan terus.

Berikutan itu, menurut Asyraf, Pemuda UMNO mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat perkara itu agar sebarang penyelewengan dapat dibongkarkan buat pengetahuan rakyat.

.Tambah beliau, Pemuda UMNO juga menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum senarai 101 projek yang terbabit agar rakyat dapat mengetahui hakikat sebenar rompakan besar sepanjang 22 bulan pemerintahan PH. – MalaysiaGazette