Surat sokongan Ismail Sabri yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Kewujudan surat sokongan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz supaya mempertimbangkan anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga dilihat sebagai pencemaran afirmatif yang berterusan.

Tindakan itu adalah petunjuk yang telah mengabsahkan bahawa agenda Melayu telah dimanipulasi untuk membentuk kelompok Melayu elit dan kerangka feudal Melayu yang akhirnya tidak memberikan apa-apa keuntungan ataupun meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu itu sendiri.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perkara ini telah mendapat kritikan seperti mana diutarakan Prof Diraja Ungku Aziz apabila kuasa-kuasa tertentu seperti pemberian lesen dan pelantikan tertentu terbuka untuk disalahguna golongan Melayu tertentu maka ia akan merencatkan agenda meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Atas dasar itu, katanya, ABIM menyelar tindakan tersebut kerana ia terus menjadi kesinambungan kepada kegagalan memartabat orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan.

Bahkan tindakan ini hanya menyebabkan kelompok tertentu sahaja yang meraih peluang ekonomi secara semberono dan menafikan ruang serta potensi mobilisasi sosial dalam kalangan rakyat untuk mencapai tahap hidup yang lebih baik. – MalaysiaGazette