Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turus disertai anggota polis mengarahkan pekerja sebuah restoran makanan menutup premis selepas didapati melanggar peraturan pada Operasi Bersepadu Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) ke atas premis makanan sekitar pentadbiran MBSA di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2020.

UNDANG-undang tidak pernah mengenal sesiapa. Semua pihak dalam negara kita termaktub dibawah undang-undang yang sama. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar segala perintah yang telah dikeluarkan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tindakan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman yang sama adil perlu dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah tanpa mengira latar belakang, keturunan, warna kulit serta status kedudukan mereka. Penegasan penguatkuasaan proses undang- undang terhadap perkara ini penting sekiranya kita ingin memastikan negara kita bebas sepenuhnya daripada ancaman wabak virus Novel Koronavirus (Covid-19). Semua pihak perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dalam negara kita serta dikenakan hukuman yang sama sekiranya mereka langgar peruntukan undang-undang ini. Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak diadili atau dihukum seadil-adilnya, negara kita akan hadapi krisis kepercayaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah diguna pakai dalam negara kita sejak 4 Mei yang lalu. Melalui perintah PKPP ini, lebih banyak lagi sektor ekonomi dan pekerjaan yang bakal dibuka. Perjalanan rentas negeri juga boleh dilakukan oleh orang
ramai. Melalui perintah PKPP, waktu operasi perniagaan juga akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan normal baharu melibatkan pemilik premis dan pelanggan. Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem. Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

Walaupun pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan pekerjaan dalam negara kita disambut dengan baik, namun semua pihak harus memastikan garis panduan dan SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi dengan sepenuhnya tanpa kompromi. Proses penjarakan sosial serta pemakaian penutup mulut dan hidung perlu dilakukan tiap kali orang awam berada dikhalayak ramai. Setiap premis perlu menyediakan segala kemudahan kebersihan diri kepada setiap pelanggan yang memasuki ke dalam premis mereka. Pemilik kedai, restoren, serta kompleks membeli belah harus terus melakukan proses pemeriksaan suhu badan serta proses pendaftaran identiti terhadap setiap pelanggan yang ingin memasuki ke kawasan premis perniagaan mereka.

Orang ramai juga perlu melakukan proses pemeriksaan terhadap tahap kesihatan diri sendiri pada setiap masa. Proses pengasingan diri juga perlu dilakukan oleh mana-mana pihak yang merasakan diri mereka tidak sihat serta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera dari doktor. Orang ramai khususnya pihak ibu bapa dan penjaga juga harus memastikan mereka tidak mendedahkan anak- anak kecil mereka kepada orang ramai pada ketika ini. Mereka yang berisiko tinggi mendapat kesan teruk kesihatan akibat daripada dijangkiti dengan virus Covid-19 seperti golongan warga emas, individu yang memiliki imuniti atau daya ketahanan dalam badan yang lemah serta mereka yang ada sejarah atau rekod penyakit kronik perlu menjaga diri mereka dengan baik. Setiap orang harus mengamalkan tahap kebersihan diri dengan baik pada setiap masa. Orang ramai haruslah rajin mencuci tangan serta tidak berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.

Seperti yang telah diketahui umum, virus Covid-19 adalah satu jenis virus baru yang boleh memberi kesan buruk terhadap tahap kesihatan manusia yang dijangkiti dengannya. Sehingga kini, tiada vaksin khusus yang boleh digunakan untuk merawati virus ini. Memandangkan virus ini adalah virus yang bahaya serta tiadanya penawar yang boleh digunakan secara khusus bagi melawan virus ini, setiap rakyat Malaysia harus memainkan peranan masing-masing bagi membantu pihak kerajaan membendung virus ini daripada terus menular dalam negara kita sehingga ianya menjadi luar kawalan dan menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia.

Setiap perintah PKPP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan terhadap isu ini perlu difahami dengan baik, dihormati dan yang paling penting dipatuhi tanpa banyak alasan oleh semua pihak tanpa mengira status mereka. Pihak berkuasa yang berkaitan perlu melakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan ketat undang- undang terhadap segala perintah yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Sikap berlembut atau pilih kasih terhadap mereka yang gagal serta masih berdegil untuk patuhi perintah kawalan pergerakan perlu dihentikan dengan serta-merta.

Tindakan undang- undang tegas perlu diambil dengan segera terhadap mana-mana pihak yang didapati masih berdegil melanggar perintah PKPP yang telah dikeluarkan seperti yang telah diperuntukkan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], Akta Polis 1967 [Akta 344], Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan lain-lain lagi. Tindakan undang-undang juga boleh diambil dibawah Warta Kerajaan Persekutuan iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Kerjasama semua pihak adalah penting sekiranya kita ingin membendung virus Covid-19 ini dengan cepat dan dengan jayanya dalam negara kita.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia