Exco Pemuda Umno Aizat Azam (dua kanan), Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, G Theeageeshdi (kiri),ketika hadir pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 25 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini membuat laporan salah laku rasuah dan salah guna kuasa terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pemberian 101 projek secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Laporan itu dibuat kepada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh tiga wakil Pemuda komponen BN iaitu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Pemuda MCA dan Pemuda MIC Kebangsaan.

Jurucakapnya, Aizat Azam yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, pihaknya berharap SPRM dapat menyiasat dengan segera pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, semalam.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami risau projek secara rundingan terus berjumlah RM6.61 bilion itu disalahgunakan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak, lebih-lebih lagi ianya didakwa tidak pernah dibincang atau diluluskan dalam Kabinet sebelum ini.

“Kami membuat laporan ini supaya Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng disiasat dan kesemua maklumat mengenai pelaksanaan 101 projek itu disiasat termasuk penerima projek, pihak yang meluluskan serta sebab-sebab ianya tidak melalui tender.

“Ini supaya ia tidak melibatkan unsur salahguna kuasa dan rasuah. Kebimbangan ini juga timbul apabila PH di dalam manifestonya telah berjanji bahwa tidak akan mengadakan projek secara rundingan terus,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu Aziat bersama Naib Ketua Pemuda MCA Pusat, Yow Toh Gee dan Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, G.Theeageesh membuat laporan kepada SPRM mengenai pemberian 101 projek secara rundingan terus berjumlah RM6.61 bilion ketika era pentadbrian PH.

Semalam, Tengku Zafrul di Dewan Rakyat mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Tengku Zafrul menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada terdapat projek secara rundingan terus ketika pentadbiran terdahulu, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19 2020). – MalaysiaGazette