Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR- Terdapat kemungkinan dokumen tidak lengkap menyebabkan sebilangan petugas kesihatan gagal mendapat bayaran elaun khas Covid-19 yang diumumkan kerajaan.

Ketika ditanya mengenai dakwaan seorang pegawai perubatan di Hospital Sungai Buloh semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, semua petugas kesihatan perlu menghantar borang dan dokumen yang lengkap bagi menuntut elaun tersebut.

“Perkara ini dijalankan oleh ketua jabatan masing-masing yang mana mereka telah diarahkan untuk bertugas semasa pandemik.

“(Bagi menuntut elaun tersebut), petugas kesihatan perlu menghantar dokumen yang lengkap dan kelulusan adalah tertakluk kepada Kementerian Kewangan.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia akan melihat dakwaan ini tetapi memang ada insiden di mana para petugas barisan hadapan lupa untuk menyerahkan dokumen yang lengkap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 di sini hari ini.

Semalam, sebuah laman web, Code Blue menyiarkan luahan rasa seorang pegawai perubatan yang mendakwa beliau masih belum menerima sebarang elaun perpindahan, on-call dan elaun khas petugas barisan hadapan Covid-19.

Beliau yang ditempatkan di Hospital Sungai Buloh pada Mac bagi sama-sama membantu usaha membendung penularan Covid-19 berkata, elaun on-call dan elaun khas Covid-19 untuk bulan Jun masih belum diterima.

Malah, elaun perpindahan pada Mac lalu juga masih tidak nampak bayang, ujarnya.

Katanya, aduan kepada pihak atasan termasuk Pengarah dan Timbalan Pengarah Hospital Sungai Buloh tidak mendapat sebarang respon.

Justeru, beliau menggunakan platform media sosial untuk mengutarakan masalah yang dihadapinya.

Ketika ditanya kepada Dr. Adham mengenai jumlah sebenar petugas kesihatan Covid-19 yang masih belum menerima elaun berkaitan, beliau berkata, tidak mempunyai rekod.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. jangan buat leceh.. orang siap berkorban tenaga masa dan nyawa utk menyertai front liner dan perkara ini harus di pandang serius dan jangan di ambil secara lewa..

Comments are closed.