Abdul Rahim Jaafar. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Permohonan elaun khas untuk anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditolak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.

Beliau berkata, bagaimanapun JPA meminta PDRM memanjangkan elaun Bayaran Insentif Tugas Am (BITA) untuk pasukan berkenaan.

“Elaun khas untuk PPM ini, kami telah memohon dan ia telah ditolak oleh pihak JPA atas alasan jika elaun itu diberi kepada PPM, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia akan meminta perkara yang sama.

“Mereka (JPA) meminta PDRM untuk memanjangkan elaun BITA kepada anggota PPM dan itu kami akan laksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan elaun PPM dalam sidang media selepas Majlis Istiadat Penyerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Maktab PDRM Cheras, di sini.

Pada Julai lepas Bernama melaporkan PDRM telah memohon kepada kerajaan mempertimbangkan elaun khas atau bayaran insentif sebanyak RM500 sebulan kepada seramai 2,270 pegawai dan anggota PPM.

Permohonan berkenaan adalah berasaskan kepada beberapa kriteria PPM iaitu kepakaran, kemahiran, kepentingan perkhidmatan, risiko kerja, kesusahan, galakan dan keanehan tugas.

Elaun atau bayaran insentif itu wajar kerana pasukan berkenaan tidak pernah menerima elaun khas sejak penubuhannya pada tahun 1947, iaitu kira-kira 73 tahun lepas.

Terdahulu, dalam majlis itu seramai 230 petugas pasukan keselamatan dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Pingat berkenaan dianugerahkan bagi menghargai jasa-jasa anggota kepada negara semasa Era Darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960 dan era insurgensi komunis pada 17 Jun hingga 2 Disr 1989 di Malaysia.

Pingat berkenaan juga dianugerahkan kepada pegawai-pegawai di Sabah dan Sarawak yang berbakti semasa era Perkhidmatan Semasa Darurat iaitu daripada tahun 1962 hingga 1990. – Bernama