Penerima anugerah, Ali Isa berswafoto bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato' Sri Hajah Nancy Shukri pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 25 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Integriti dan usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti merupakan faktor yang mustahak untuk mencapai perkhidmatan yang cemerlang dalam kalangan penjawat awam.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya,  Datuk Seri Nancy Shukri berkata, nilai-nilai berkenaan merupakan budaya kerja yang perlu diamalkan.

“Jika kita amati dalam siri ucapan-ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yasssin) beliau sentiasa menghargai dan mengiktiraf budaya kerja cemerlang penjawat awam di tempat kerja tanpa membelakangkan kepentingan negara.

“Nilai-nilai integriti dan usaha berterusan turut perlu diberi penekanan kerana ia menjadi benteng dan juga pemangkin bagi meningkatkan profesionalisme, kecekapan dan sahsiah diri yang utuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Sektor Kebudayaan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya bertempat di Istana Budaya hari ini.

Terdahulu, seramai 198 orang penerima APC terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari enam Jabatan dan tiga agensi di bawah Sektor Kebudayaan peringkat Zon Tengah menerima sijil masing-masing.

Jabatan atau agensi yang terlibat adalah Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan Muzium Malaysia,  Jabatan Warisan Negara,  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,  Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan akhir sekali  Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Mengulas lanjut, Nancy berharap pengiktirafan yang diterima kakitangan di bawah MOTAC hari ini akan menjadi penyuntik semangat kepada penerima untuk terus berkhidmat dengan lebih dedikasi dan beriltizam tinggi dalam masa yang sama menjadi mentor terbaik rakan sekerja yang lain.

“Saya turut berharap anugerah ini menjadi pemangkin dan pencetus inspirasi kepada semua warga MOTAC untuk berusaha lebih gigih dalam mempertingkatkan produktiviti, menghasilkan mutu kerja yang berkualiti tinggi dan membudayakan kecemerlangan di tempat kerja,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette