Hotel Movenpick KLIA, Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Promosi dan pemasaran yang kurang berkesan oleh pengurusan TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) menyebabkan syarikat itu mengalami penurunan dalam pendapatan sewaan bilik berikutan kadar penginapan yang rendah bagi tahun kewangan 2018.

Selain itu faktor persaingan turut menyumbang kepada  penurunan pendapatan itu.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2019, pada 2018, jumlah pendapatan utama mengalami penurunan iaitu RM1.06 juta (5.64 peratus) berbanding 2017.

“Pada keseluruhannya, jumlah pendapatan THHR pada 2018 mengalami penurunan yang amat ketara berbanding 2017 iaitu sejumlah RMR105.86 juta (84.9%) disebabkan THHR tidak menerima sebarang dividen daripada syarikat subsidiarinya iaitu TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) pada tahun 2018.

“THHR menerima dividen daripaada THTS berjumlah RM104.5 juta pada tahun 2017 dan RM7 juta pada tahun 2016,” menurut laporan itu.

Pendapatan utama THHR diperolehi daripada sewaan bilik penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) serta sewaan dan bilik seminar.

Tambah laporan itu, pada 2018, perbelanjaan THHR mengalami peningkatan sebanyak RM3.31 juta (15.9%) berbanding tahun sebelumnya dan RM1.38 juta (6.1%) berbanding 2016.

“Sebab utama peningkatan itu ialah rosot nilai terhadap penghutang dan pelaburan dalam syarikat subsidiari,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan melebihi pendapatan itu telah mengakibatkan THHR mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM5.33 juta pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM103.83 juta pada tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak 105 peratus. – MalaysiaGazette