Menara Kenanga di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM25.9 juta pada suku kedua, peningkatan tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan bersih dicatatkan dalam tempoh itu sebanyak RM170.1 juta, kenaikan 46% berbanding tempoh sama tahun lepas, kebanyakannya hasil sumbangan daripada pertambahan fi pembrokeran, hasil dagangan dan pelaburan.

Selain itu, ia turut disumbangkan oleh hasil fi pengurusan. Ia juga mencatatkan perkongsian untung daripada syarikat usaha sama, Rakuten Trade dan pemulangan peruntukan kerugian kredit.

Ketidaktentuan pasaran baru-baru ini telah menyebabkan suatu lonjakan dari segi penyertaan pelabur runcit tempatan, menyemarakkan aktiviti dagangan hingga mencatat rekod tertinggi di dalam pasaran ekuiti.

Volum dagangan di Bursa Malaysia baru-baru ini dilaporkan meningkat kepada rekod harian sebanyak 26.65 bilion, dengan bilangan saham
didagangkan berjumlah RM9.05 bilion – tertinggi di rantau ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Kennaga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong berkata, beberapa bulan kebelakangan ini benar-benar mengesahkan strategi digital yang telah Kenangan laksanakan beberapa tahun lalu menyokong kebangkitan semua di dalam penyertaan runcit, dan mengambil manfaat daripada sentimen pasaran saham yang mengukuh.

”Kami komited untuk mempercepatkan usaha ke arah inovasi bagi melakukan perubahan seterusnya terhadap kecekapan operasi, meningkatkan pengalaman pelanggan dan menyediakan ekosistem pelaburan yang cergas meliputi segala-galanya untuk pelabur Malaysia.

“Dengan amalan pengurusan risiko yang berhemah dan kedudukan teguh di dalam pasaran runcit, Kenanga berada di kedudukan tepat untuk menamatkan tahun ini dalam kedudukan positif,” katanya. – MalaysiaGazette