Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lima kes baharu Covid-19 di Kedah hari ini melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah di bawah Kluster Tawar.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di bawah Kluster Tawar adalah 70.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, lima kes terbaharu itu dikenalpasti melalui pengesanan kes secara aktif dan kontak rapat kes-kes positif kluster berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat kepada kes ke-9197 yang merupakan seorang pelajar pra-sekolah (kes ini telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020).

“Kes-kes terbaharu ini merupakan generasi ketiga, bukan generasi pertama dan kedua. Kes ke-9197 mungkin mendapat jangkitan tersebut daripada ibunya dan kemudiannya mungkin menjangkiti rakan-rakan di sekolahnya. Siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya semasa sidang media di sini.

Tambah Dr. Noor Hisham, sekolah tersebut telah pun ditutup.

Ketika ditanya mengenai terdapat kemungkinan kanak-kanak lebih mudah menyebarkan jangkitan koronavirus berbanding dewasa (superspreader), Dr. Noor Hisham menjelaskan, setakat ini tiada bukti yang menyokong pendapat sedemikian.

Tegasnya, apa yang penting adalah tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak iaitu mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai gejala dan melakukan pengasingan segera.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kluster Tawar menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi.

Disebabkan itu, KKM mengesyaki terdapat perubahan mutasi terhadap virus berkenaan tetapi ujian makmal masih lagi dijalankan.

Menyentuh mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di empat mukim di Kedah dan dua kampung di Perlis, Dr. Noor Hisham berkata, ini disebabkan tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 16 hari.

“Hari ini adalah hari ke-16 tetapi tiada kes baharu.

“Memang kita membuat perancangan untuk tamatkan TEMCO pada 31 Ogos tetapi kita telah bersetuju untuk menamatkannya lebih awal kerana tempoh inkubasi hanya 14 hari dan ujian saringan kedua juga menunjukkan kesemuanya negatif.

“Namun begitu, pemantauan masih dijalankan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette