Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) melihat aktiviti para banduan semasa melakukan lawatan ke penjara pada Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 25 OGOS 2020.

KAJANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak meletakkan sasaran terhadap bilangan banduan yang akan mengikuti Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen.

Ini kerana program yang pernah dilakukan oleh pihak penjara untuk mendekatkan banduan dengan keluarga masing-masing hanya mendapat sambutan sekitar 20 peratus sahaja, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, perkara itu memberi kesan tidak baik kepada banduan kerana penerimaan daripada keluarga mereka sendiri yang kurang memberangsangkan sekaligus meletakkan mentaliti negatif kepada mereka apabila berada di dalam masyarakat.

“Contoh kita buat program outreach bersama keluarga hanya lebih kurang 20 peratus sahaja keluarga yang datang. Ini merupakan satu angka yang rendah.

“Sebab itu kita buat program ini agar keluarga-keluarga merasakan bahawa program ini bagus. Inilah yang kita hendak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 di sini hari ini.

Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen merupakan satu program di mana banduan dibenarkan keluar dari penjara untuk bersama masyarakat dengan pemantauan dan jaminan keluarga dalam tempoh tertentu.

Langkah itu bertujuan agar banduan dapat merasakan kemakmuran di dalam negara ini apabila mereka diberikan peluang pekerjaan.

Ketika menjalani hukuman di dalam penjara mereka diberikan pelbagai latihan dan kemahiran dan pengalaman itu boleh digunakan mereka untuk memperbaiki kehidupan setelah tempoh hukuman mereka tamat.

Banduan perlu kembali semula ke penjara selepas lesen pelepasan mereka tamat dan jika gagal berbuat demikian mereka akan dilanjutkkan hukuman penjara selama dua tahun lagi sekiranya tertangkap.

“Program ini bukan senang. Orang yang jadi penjamin itu sendiri kita temuduga. Insya Allah ia akan diperbesarkan dari semasa ke semasa,” ujar Hamzah.

Menurut beliau, sejak diperkenalkan empat tahun lalu, program tersebut telah disertai lebih 72 orang banduan dan hari ini menyaksikan lima lagi banduan yang terpilih. – MalaysiaGazette