KUALA LUMPUR – Penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lapan minggu telah membantutkan aktiviti hartanah dengan permintaan bagi aset itu susut 2.5% pada separuh pertama tahun ini.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan REA Group Asia, Premendran Pathmanathan berkata, permintaan bagi kediaman servis menguncup -7.2% manakala permintaan bagi kondominium masih negatif dengan penurunan kedua-dua angka kunjungan dan penyenaraian hartanah

Median harga dan pertumbuhan modal bagi kedua-dua jenis hartanah ini turut menurun seiring dengan penularan wabak Covid-19 dan kekangan pergerakan yang disebabkan oleh PKP pada suku kedua 2020.

Penurunan ini berpunca daripada ketidaktentuan sentimen pengguna seperti kehilangan punca pendapatan dan perubahan mendadak pada gaya hidup, keutamaan dan keadaan semasa individu.

Angka kunjungan dan penyenaraian hartanah bagi rumah teres meningkat pada separuh pertama 2020 dengan pertumbuhan modal sebanyak 2.21%, menjadikan rumah teres satu-satunya jenis hartanah yang merekodkan kenaikan modal positif dalam tempoh yang sama.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan penyenaraian hartanah lebih tinggi berbanding pertumbuhan angka kunjungan, membawa kepada penurunan permintaan keseluruhan sebanyak -3.3%.

Analisis oleh iProperty.com.my ini juga menunjukkan penurunan angka pertumbuhan modal di bandar-bandar utama di Malaysia pada separuh pertama 2020.
Kuala Lumpur merekodkan penurunan terbesar iaitu -7.07%, diikuti George Town (-5.42%), Petaling Jaya (-2.59%), Johor Bahru (-1.73%) dan Shah Alam (-1.11%) dan trend ini memang dijangka memandangkan hartanah di kawasan bandar raya utama mempunyai harga tinggi dan akan paling terkesan apabila berlakunya peristiwa luar biasa seperti Covid-19.

Premendran menambah, di Kuala Lumpur, Covid-19 telah menjejaskan permintaan terhadap kesemua jenis bangunan dan paling ketara, terdapat permintaan negatif terhadap rumah teres.

Ini jauh berbeza dengan separuh pertama 2019 apabila rumah teres berada pada tangga teratas pertumbuhan modal dan merupakan satu-satunya jenis bangunan yang merekodkan pertumbuhan positif.

Kondominium dan kediaman servis, kedua-duanya mencatatkan penurunan ketara bagi permintaan dan pertumbuhan modal.

Namun, permintaan keseluruhan terhadap hartanah subsale (rumah-rumah yang telah dimiliki, sekunder ) di ibu negara hanya mencatatkan penurunan yang kecil iaitu -0.3% pada H1 2020.

Selangor pula merupakan satu-satunya negeri utama yang merekodkan permintaan positif pada tempoh itu iaitu kenaikan 3.5%, di samping peningkatan kunjungan secara keseluruhan dari tahun ke tahun.

Walaupun bandar-bandar utama lain di Malaysia merekodkan permintaan yang negatif terhadap rumah, Shah Alam, memperoleh angka permintaan +7.63% disebabkan banyaknya hartanah mampu milik di pinggir Lembah Klang.

Di Selangor, permintaan terhadap rumah pada separuh pertama tahun ini beralih ke bandar-bandar lebih kecil dan kawasan pinggir bandar seperti Puncak Alam, Dengkil, Semenyih dan Cyberjaya, didorong oleh pencarian rumah-rumah lebih besar.

Pulau Pinang pula mengalami kemerosotan kecil apabila permintaan hartanah subsale di negeri tersebut menurun sebanyak 6.5% pada separuh pertama akibat PKP dan penutupan kedua-dua sempadan negeri dan antarabangsa yang menjejaskan industri pelancongannya.

Permintaan hartanah di negeri ini menurun bagi ketiga-tiga jenis hartanah namun harga rumah teres di tanah besar masih lebih rendah berbanding harga rumah di pulau.

Manakala di Johor pula, kata Premendran, pasaran hartanah memang sedia lembap sejak sebelum penularan Covid-19 lagi dan masih suram, lantaran itu negeri ini masih dibelenggu masalah lambakan hartanah tertinggi di Malaysia. – MalaysiaGazette