Mohd Aswaad Jaafar

KUALA LUMPUR Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang kecewa dengan sikap tidak prihatin pihak berkuasa berhubung isu kemasukan nelayan Rohingya yang telah mengancam pendapatan nelayan tempatan di Teluk Kumbar.

Jurucakapnya, Mohd Aswaad Jaafar berkata, setakat ini tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa walaupun parti ini  telah membangkitkan isu berkenaan pada awal bulan ini.

Tegasnya, kewujudan nelayan Rohingya yang tidak mematuhi peraturan telah menggugat pendapatan nelayan tempatan dan masalah sosial.

Pendapatan nelayan tempatan telah merosot sebanyak 50% dan berlakunya kehilangan pukat dan alat penangkapan ikan.

Malah, nelayan tempatan turut mengadu, nelayan warga asing itu bukan sahaja tidak mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan, malah biadap apabila mengatakan laut itu tidak dimiliki nelayan tempatan apabila diminta beri kerjasama oleh nelayan tempatan.

Selain itu, kebanyakan nelayan Rohingnya itu tidak mempunyai lesen dan permit perikanan yang sah, mereka menggunakan sampan dengan enjin yang berkuasa lebih tinggi yang membolehkan mereka menangkap ikan di kawasan laut lebih dalam dan membawa hasil pulangan lebih banyak.

Penggunaan bot-bot yang berkuasa tinggi ini telah menyebabkan kerosakan kepada pukat-pukat nelayan tempatan, sekaligus mengakibatkan kerugian.

”Parti Gerakan Rakyat Malaysia menggesa pihak berkuasa mengambil berat masalah yang dihadapi nelayan tempatan di Teluk Kumbar,” ujarnya dan memaklumkan telah mengemukakan surat kepada Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang supaya tindakan segera diambil dan kehidupan normal nelayan di teluk itu dapat dikembalikan. – MalaysiaGazette