Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat semasa mengadakan sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Felda Trolak Selatan, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2020

SLIM RIVER – Memasuki hari kesembilan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkata, kempen pilihan raya yang digerakkannya sudah meliputi 95 peratus.

Bekas Ahli Bersatu itu memberitahu, beliau juga sudah selesai melawat sebanyak 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada tempoh sama.

Jelas peguam itu, jentera kempennya juga telah bertemu dengan semua pengundi di kawasan Slim ini.

“Saya akan memberi fokus perlu banyak lagi pertemuan untuk perkenalkan diri dan menambat hati melalui walkabout yang terus dirancang masa ke semasa.

“Maklum balas yang saya terima amat positif dan terkejut kerana walaupun terdapat tiga calon bertanding, nama saya dan calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz lebih ke hadapan,” katanya.

Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat semasa mengadakan sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Felda Trolak Selatan, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2020

Beliau berkata demikian kepada media selepas berkempen di Felda Trolak Selatan semalam.

Amir berkata, kebanyakan pengundi yang ditemui berpendapat PRK DUN Slim ini ibarat pertandingan dua penjuru.

Jelasnya, pengundi atas pagar menjadi sasarannya dan mahu terus agresif bertemu mereka untuk membuat sentuhan peribadi hingga tengah malam Jumaat ini. – MalaysiaGazette