Asyraf Wajdi Dusuki

SLIM RIVER – Pemuda Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan senarai nama calon sayap itu kepada pengerusi parti itu di Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan nama itu untuk dipertimbangkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, saringan juga telah dijalankan ke ats calon-calon yang disenaraikan supaya tidak memberi masalah kepada BN pada masa akan datang.

“Kami telah memberi nama-nama kepada Pengerusi Perhubungan BN untuk dipertimbangkan jadi kita tunggu keputusan yang akan dibuat, Insya-Allah seminggu sebelum penamaan calon.

“Sudah tentu Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda BN mengharapkan 85 peratus muka-muka baharu ini,” katanya selepas ditemui pihak media di Bilik Gerakan BN Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lama, di sini hari ini.

Sebelum ini, Bung Moktar Radin memberitahu parti itu akan memilih 85 peratus muka baharu sebagai calon BN menghadapi PRN pada bulan depan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, muka-muka baharu yang akan dipilih kelak terdiri daripada kalangan belia.

Sementara itu, Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO meluahkan keyakinan calon sayap itu akan memberikan harapan baharu kepada rakyat Sabah.

Jelas beliau, ini kerana UMNO dan BN sudah bertapak lama di negeri itu lebih 25 tahun.

“Rakyat Sabah lebih mengetahui sumbangan dan jasa BN dalam tempoh tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette