Nancy Shukri ketika berucap di majlis pelancaran TV/ Video Promo Kempen 'Cuti-cuti Malaysia' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

KUALA LUMPUR – Industri pelancongan dan kebudayaan dalam negara  perlu melakukan transformasi digital demi kekal relevan pada masa ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perubahan dalam aspek ini dilihat menjadi satu keperluan seiring dengan mengadaptasi norma baharu.

Menurutnya, dengan penggunaan ruang digital secara meluas dan kreatif untuk tujuan mempromosikan pelancongan, masyarakat akan mudah tertarik, sekaligus merancakkan kembali industri.

“Dalam perubahan landskap kebiasaan baharu masa ini, transformasi digital menjadi kemestian kepada semua pihak dalam industri pelancongan dan kebudayaan, untuk kekal relevan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran TV/ Video Promo Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Justeru itu, beliau menyifatkan  Pelancaran Promo TV/ Video pada hari ini tepat pada masanya.

“Tema-tema dalam video-video promo ini juga memberikan satu identiti unik kepada destinasi-destinasi pelancongan yang ada di negara kita sendiri,” tambah Nancy.

Selain daripada media-media arus perdana seperti TV1, TV2 dan TV OKEY, promosi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan  ini turut dimuat naik ke laman-laman web serta platform-platform digital yang mudah diakses oleh segenap lapisan masyarakat.

Sebanyak lima video promosi telah dihasilkan dengan mengetengahkan beberapa tema dan produk pelancongan termasuk pulau dan pantai, aktiviti pengembaraan alam semula jadi dan makanan tempatan.

Promosi berterusan  ini dilakukan bagi mencetus minat orang ramai untuk keluar melancong dalam negara, ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast