Jangkitan baharu Covid-19 bertambah lagiĀ  hari ini dengan 26,534 kes dilaporkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan saringan terhadap 4,051 individu menerusi Kluster Tawar di Kedah.

Berdasarkan saringan yang dibuat, tiga daripadanya positif Covid-19 menjadikan jumlah yang dikesan positif wabak itu menerusi kluster berkenaan adalah 73 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

“Di Kedah, seramai 3,514 individu telah disaring dan 62 daripada mereka dikesan positif Covid-19. Keputusan saringan daripada 2,884 individu didapati negatif manakala 568 lagi masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang pula, seramai 526 individu telah disaring dan didapati 11 daripada mereka dikesan positif Covid-19, 513 individu negatif sementara dua lagi masih menunggu keputusan.

“Bagaimanapun, di Perak masih lagi kekal 11 saringan di mana kesemuanya adalah negatif dengan tiada saringan baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, KKM telah menjalankan pelbagai intervensi kesihatan awam termasuk aktiviti-aktiviti pencegahan penularan jangkitan Covid-19.

Ujarnya, ia dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain dan langkah itu diambil bagi mengekang penularan jangkitan wabak berkenaan di dalam kluster tersebut terutamanya di negeri Kedah yang telah melaporkan 85 peratus daripada kes positif kluster itu.

Tambah beliau, KKM akan terus mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes secara aktif selain mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya lagi, penutupan sekolah dan premis yang terlibat untuk menjalankan aktiviti nyah kuman dan nyah cemar turut dilakukan serta mempertingkatkan komunikasi risiko termasuk memaklumkan situasi terkini Covid-19 di kawasan-kawasan yang terjejas melalui media massa. – MalaysiaGazette