Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melaungkan merdeka pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perpaduan hari ini yang melambangkan keharmonian kaum mesti diperjuangkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara.

Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing berkata, rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana dasar kerajaan yang berusaha meningkatkan nilai-nilai perpaduan bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu, bertolak ansur dan menghormati pegangan agama serta adat resam orang lain.

Ini kerana jelas beliau, ia merupakan intipati merintis ke arah perpaduan kaum yang menjadi tulang belakang negara ini selama ini.

“Pemimpin Malaysia yang berinspirasi dan berprihatin pada rakyat sejak daripada kemerdekaan negara dulu lagi perlu sentiasa berpandangan jauh.

“Pada masa, pelbagai program boleh dirangka yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama dengan harapan perpaduan dan sikap toleransi antara kaum sentiasa subur di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kebangsaan yang akan disambut pada setiap 31 Ogos di sini hari ini.

Iqram Zulkarnain bersama rakannya, Afiq Izham (kanan) meluangkan masa bermain basikal yang dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Kuala Slim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2020

Kok Wing menambah, sebagai rakyat, rasa kesetiaan, kecintaan dan bersyukur dengan apa yang dinikmati bukan suatu kerugian.

Sebaliknya jelas beliau adalah manifestasi kepada wajah dan keperibadian terhadap negara di mana semangat patriotisme seharusnya dipupuk sejak tadika, sekolah sehingga ke universiti.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berketurunan Cina, saya berbangga dilahirkan di sini. Kepelbagaian budaya dan keturunan di Malaysia mewarnai perpaduan dan semarak patriotisme.

“Perbezaan harus diraikan dan ukan menjadi titik kepada perselisihan. Walaupun pemikiran rasis masih membayangi pemikiran rakyat negara ini namun dalam kebanyakan hal kehidupan, kita sebagai rakyat Malaysia masih menerima kebersamaan untuk hidup saling menghormati,” katanya.

Kok Wing menegaskan, walaupun apa bangsa dan keturunan sekalipun, kesetiaan kepada raja dan negara kelahiran adalah benteng pegangan rakyat yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan.

“Setiap rakyat yang bernama Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik perlu saling hormat-menghormati di negara ini.

“Ibarat kata, lautan mana tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Malaysia ibarat sebuah lukisan dan  rakyat itu seniman yang melukiskannya. Sayangilah negara kita,”katanya. – MalaysiaGazette

SAHABAT… Dari kiri Saai Dhanyaa,5, Erica Sofia Abdul Shafik,4 dan Wong Su Han,5 berpelukkan antara satu sama lain sambil mengayakan pakaian tradisional sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tadika Q-Dees, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 OGOS 2019.