Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menujukkan buku laporan pada sidang media sempena penyerahan laporan kepada Perdana Menteri di Kompleks D, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) berjaya menyiapkan 49 syor reformasi pilihan raya dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman , kesemua cadangan yang dihasikan  menerusi kajian dan pandangan akar umbi termasuk parti politik itu bertujuan memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penguatkuasaan sistem demokrasi negara dengan bebas.

Katanya, ia sekaligus meningkatkan  keyakinan orang ramai terhadap badan itu.

Menurut beliau, syor ERC itu juga bagi membolehkan SPR memiliki kuasa bebas untuk memantau, mengawal dan mengenakan tindakan tegas kepada parti politik yang gagal mematuhi undang-undang ketika pilihan raya.

“Tujuannya untuk meletakkan keyakinan kepada SPR sekarang ini banyak pihak tidak yakin bahawa SPR bebas, adil telus dan sebagainya.

“Cadangan ini adalah dari bawah, semua orang mahu SPR bertanggunjawab.

“Bagilah SPR gigi sikit untuk gigit, kawal parti politik bila ada yang tidak mengikut peraturan atau undang-undang,” katanya dalam sidang media penyerahan laporan ERC kepada Muhyiddin.

Menurut Ab Rashid, perdana menteri telah memberi jaminan untuk meneliti dan mempertimbangkan kesemua syor reformasi pilihan raya berkenaan.

Daripada 49 syor reformasi pilihan raya yang berjaya disiapkan oleh ERC dalam tempoh dua tahun ini, antara yang menjadi fokus adalah syor pengasingan fungsi SPR.

Pengasingan ini boleh dilakukan dengan diwujudkan dua lagi badan secara berasingan tapi ada kaitan rapat antara satu sama lain iaitu Seketeriat dan Suruhanjaya Persempadanan Pilihan Raya.

“Kalau masih kekal seperti mana keadaan sekarang yang mana persempadanan semula dikaji setiap lapan tahun kerajaan mesti tentukan semula mesti setiap lima tahun, tubuhkan Suruhanjaya Persempadanan Raya. Suruhanjaya yang mesti buat kerja dalam tempoh dua tahun,” jelas beliau.

Selain itu ERC antara lain turut mencadangkan kepada Perdana Menteri agar kerajaan memindah fungsi pendaftaran parti politik kepada SPR.

Turut dikemukakan kepada Muhyiddin adalah syor mewujudkan undang-undang berkaitan penyaluran sumbangan orang awam dan pihak swasta kepada parti politik.

Dalam pada itu beliau menegaskan tidak akan ada parti yang untung atau rugi sekiranya semua syor ERC diterima kerajaan.

“Tidak ada politik (kepentingan politik) semua parti akan rasa bebas daripada keadaan yang tidak adil.

“Kita jamin seratus peratus syor kita ini semua kebajikan parti akan dijaga,” katanya lagi.

Secara kesimpulannya semua 49 cadangan dari ERC, kata beliau, memerlukan tempoh yang lama untuk dilaksanakan sekiranya kesemuanya dipersetujui oleh kerajaan.

“Kalau tiga tahun mungkin dalam 32 syor sahaja boleh dilaksanakan, jadi untuk laksana semua syor mungkin lima tahun mungkin 10 tahun,”katanya ketika ditanya adakah kesemua syor sempat dilaksanakan dalam masa tiga bulan.- MalaysiaGazette