Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (tengah) menyaksikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, Ir. Wan Mohd Zaidi Wan Isa (duduk kiri) bersama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, Mohd Zahar Abdullah (duduk kanan) menandatangani dokumen serahan tugas pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di JBPM, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 OGOS 2020

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih lagi menjalankan aktiviti sanitasi di tempat-tempat awam dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid memaklumkan, sebanyak 10 aktviti sanitasi telahpun dibuat sebelum ini dengan melibatkan enam negeri dan akan berterusan.

Beliau berkata, langkah itu terus diambil memandangkan terdapat kawasan kluster baharu dan kewujudan zon oren serta merah.

“Kita akan terus bekerjasama dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk memastikan kawasan-kawasan tersebut dinyahcemarkan.

“Dan jika ada lagi kluster-kluster tertentu kita akan tunggu arahan dari semasa ke semasa di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, pengarah jabatan bomba di setiap negeri mempunyai diskripsi untuk meneruskan sanitasi yang diperlukan diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga terhadap badan kerajaan yang lain.

Ujarnya, tugas tersebut tidak berhenti begitu sahaja sebaliknya, pihak bomba masih lagi membantu semua pihak di dalam kerja-kerja disinfeksi termasuk melakukannya di zon-zon yang dikategorikan merah. – MalaysiaGazette