KUALA LUMPUR – MNRB Holdings Berhad (MNRB) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM50.8 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2020, peningkatan sebanyak 34% daripada RM37.9 juta yang dicatatkan sebelumnya.

Perolehan syarikat ini turut menyaksikan kenaikan ketara  dengan jumlah premium kasar dan sumbangan takaful meningkat 3.7% kepada RM500.8 juta pada tempoh tersebut berbanding RM 483.5 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Subsidiari syarikat insurans semula MNRB, Malaysian Re mencatatkan pertumbuhan sebanyak 14.3% dalam premium kasar kepada RM323.8 juta daripada RM283.3 juta yang direkodkan pada suku tahun sama tahun.

Kenaikan itu dipacu oleh pertumbuhan perniagaan yang baik dalam portfolio perniagaan konvensional domestik dan antarabangsa serta pengenalan produk baharu yang sejajar dengan pelan penciptaan nilai strategiknya.

Keuntungan bersih Malaysian Re naik sebanyak 75.1% kepada RM35.2 juta berbanding RM20.1 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh perbelanjaan pengurusan yang lebih rendah, ketiadaan peristiwa kerugian yang besar serta pendapatan pelaburan yang lebih tinggi yang dicatatkan untuk suku tahun tersebut.

Sumbangan kasar Takaful IKHLAS Family adalah sebanyak RM102.1 juta bagi suku pertama berbanding RM135.6 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan bersih susut kepada RM2.6 juta daripada RM14.6 juta.

Perniagaan Takaful Am Kumpulan, Takaful IKHLAS General, mencatatkan RM76.4 juta dalam sumbangan kasar pada suku pertama berbanding RM64.2 juta yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu dengan keuntungan bersih meningkat kepada RM7.1 juta daripada RM5.7 juta.

”Permulaan Tahun Kewangan 2021 adalah amat mencabar bagi kami apabila terpaksa menjalankan operasi perniagaan kami di tengah-tengah penularan Covid-19 dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, kami berjaya mengharungi suku tahun pertama ini dengan baik.

”Secara keseluruhannya, kumpulan ini kekal berdaya tahan dan mencatatkan keputusan yang bertambah baik bagi tempoh tahun kewangan ini,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Mohd Din Merican.

MNRB menyaksikan pendapatan pelaburan bersih meningkat sebanyak 7.9% kepada RM172.9 juta daripada RM160.3 juta sebelumnya dipacu oleh perolehan nilai saksama yang lebih tinggi.

Hasil strategi pengurusan secara berhemat, MNRB menyaksikan pertumbuhan sebanyak RM0.28 bilion dalam jumlah aset kumpulan kepada RM9.49 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun kewangan 2021.

”Melangkah ke hadapan, kami akan mengekalkan portfolio pelaburan yang konservatif dan akan meneruskan aset pelaburan dan ekuiti yang terpilih, setelah mengambil kira ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran.

”Kami akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan penciptaan nilai untuk mengekalkan pertumbuhan Kumpulan MNRB. Salah satu matlamat utama kami adalah meningkatkan saluran digital kami bagi memastikan pelanggan dapat berhubung dengan kami dan mendapat perkhidmatan kami secara berkesan melalui kaedah maya,” tambahnya. – MalaysiaGazette