Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Setakat 14 Ogos 2020 nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM74.3 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada angka ini, sebanyak RM26.0 bilion adalah jumlah yang dinikmati oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM48.3 bilion.

Beliau mengingatkan bahawa moratorium itu akan tamat pada 30 September ini dan institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang terjejas akibat Covid-19 melalui bantuan bank bersasar.

”Bagi mereka yang masih terkesan, jangan tunggu sehingga saat-saat akhir untuk menghubungi institusi perbankan bagi berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik,” katanya sambil memberitahu pelaksanaan bantuan bank bersasar bermula 1 Oktober ini.

Tambah Tengku Zafrul, pelaksanaan bantuan ini adalah wajar bagi mereka yang masih terjejas bagi menjamin sistem perbankan negara kekal utuh dan kukuh.

”Sistem perbankan yang kukuh adalah penting untuk menyokong pemulihan ekonomi dengan terus menyediakan akses pembiayaan kepada perniagaan dan isi rumah, selain sentiasa bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan serta ketidaktentuan pada masa akan datang.

”Selain itu, industri bank juga memiliki obligasi dalam membayar keuntungan kepada tabungan atau deposit pelanggannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette