Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zukifli Mohamad Al-Bakri bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Agama Di Bawah Jabatan Perdana Menteri 2020 di Kompleks Islam, Putrajaya. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 27 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Tidak menjadi satu kesalahan bagi umat Islam mengenakan pakaian bukan Islam khususnya dalam mana-mana majlis sebagai pakaian tema dengan syarat ia menutup aurat serta mematuhi syariat Islam.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sambil menambah mempromosikan pakaian budaya lain tidak menjadi kesalahan selagi mana tidak bertentangan dengan akidah.

“Dari sudut ini, saya tak kata (salah), kalau ia budaya tak jadi satu kesalahan. kalau dalam Islam, mesti menutup aurat kena ada terma pakaian yang diizinkan.

“(Asalkan) tidak menyerupai dalam bentuk keagamaan yang berlainan dengan agama Islam. Maka yang itu dibenarkan dengan kesopanan dan tatasusila,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Merdeka peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Kompleks Islam, hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang netizen yang menuduh pelakon dan pengacara, Mira Filzah cuba mengeksploitasi budaya kaum India dengan memakai set lengkap pakaian tradisi ‘lehenga’ bagi mempromosikan produk kanta mata. – MalaysiaGazette