Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.

MELAKA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap lebih ramai penghantar makanan mendapatkan perlindungan keselamatan sosial melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata ini kerana sehingga kini pihaknya hanya menerima 62 pencarum berdaftar di bawah SKSPS, sedangkan difahamkan terdapat hampir 600 penghantar makanan di seluruh Melaka.

“SKSPS memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa bekerja termasuk tanggungan mereka jika berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan.

“Justeru, kita menyeru semua individu yang bekerja sendiri terutama penghantar makanan dan masih belum berdaftar di bawah SKSPS untuk hadir ke mana-mana pejabat Perkeso,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran ‘Squad Rider Prihatin’ di sini, hari ini.

Beliau berkata antara faedah yang disediakan melalui skim itu adalah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan pinjaman pendidikan.

Terdahulu, hadir menyempurnakan majlis bersempena Konvoi Santai Merdeka Malaysia Prihatin 2020 melibatkan 63 peserta itu adalah Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Konvoi yang menempuh perjalanan sejauh 246 kilometer bermula di Putrajaya selain singgah di Seremban, Negeri Sembilan dan berakhir di Melaka itu diketuai oleh Ketua Cawangan Saraan, Prestasi dan Kemudahan Perkeso Mohd Razmi Khalid.

— BERNAMA