Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meyampaikan surat tawaran pembelian rumah Perakku 1 Ulu Bernam Timur dan rumah Perakku 1 Mukim Slim (Trolak) Daerah Muallim kepada penerima sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Dewan Serbaguna Trolak Pekan, Perak. foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui kehadirannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim untuk memancing undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.

Pada masa sama, beliau menegaskan kemunculannya yang kerap pada kempen berdasarkan jadual kerjanya memandangkan beliau turut menjalankan tanggungjawab kepada rakyat sebagai Menteri Besar Perak .

“Masalah yang berlaku adalah dengan jadual saya. Apabila saya hadir sebagai ahli parti saya datang ke sini, ya untuk memancing undi.

“Tetapi oleh kerana saya juga membawa ‘topi’ sebagai seorang menteri besar kerajaan negeri Perak, apabila saya di sini saya mengambil satu peluang untuk mengadakan program bersama dengan rakyat.

“Jika tidak, saya terpaksa datang sekali lagi juga, meskipun saya ada banyak lagi benda yang hendak diberikan kepada penduduk di sini yang telah dirancang awal sebelum Covid-19 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembelian Rumah Perakku I, Ulu Bernam Timur dan Rumah Perakku I, Mukim Slim (Trolak) Daerah Muallim hari ini.

Beliau menjawab soalan wartawan berhubung program yang dihadirinya itu sehari sebelum pengundi di Slim menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada hari esok.

Menurut Ahmad Faizal lagi, program berkenaan memang sudah dirancang namun beliau tidak mempunyai kesempatan untuk melaksanakannya.

“Jadi alang-alang saya ada di sini saya adakan program sebegini. Apa yang orang nak kata dalam politik ini saudara, benda baik setakat mana kita buat baik pun, orang akan kata lain. Jadi terpulanglah pada rakyatlah,” ujarnya.

Pada majlis tersebut seramai 98 individu menerima surat tawaran pembelian rumah yang disediakan kerajaan negeri untuk dibeli oleh rakyat yang berpendapatan rendah.

Rumah tersebut dijual dengan harga yang rendah khusus untuk golongan B40 bagi Program Rumah Perakku I, manakala Rumah Perakku II iaitu rumah kos sederhana untuk golongan M40
dan Rumah Perakku III iaitu rumah mampu milik untuk golongan M40 dan T20. – MalaysiaGazette