KUALA LUMPUR – Projek penambahan tujuh tren Monorel empat gerabak menggantikan beberapa tren dua gerabak menjelang 2021 berjalan lancar.

Ketua Pegawai Operasi Rapid KL (Laluan Monorel), Mohd Ariffin Idris berkata, projek tersebut akan membuka era baru pada tahun depan dalam menyediakan perkhidmatan cemerlang kepada warga kota.

“Ketika itu, Monorel akan menempuh satu era baru dengan 12 tren empat-gerabak untuk menyediakan perkhidmatan selesa dan lancar untuk seluruh warga kota.

“Ketika itu juga, kita sudah boleh mengaktifkan sistem pintu penghadang automatik yang terdapat di semua platform, yang hanya boleh dilakukan apabila laluan Monorel beroperasi sepenuhnya dengan tren-tren empat-gerabak sahaja yang mana usaha ke arah pelaksanaan itu sedang dipergiatkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-17 Monorel pada 31 Ogos ini.

Dilancarkan pada 31 Ogos 2003 oleh Perdana Menteri keempat Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad sebagai KL Monorail Services (KLMS), perkhidmatan awam itu diperkenalkan untuk membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandaraya khususnya di kawasan segi tiga emas dengan menggunakan 12 tren dua-gerabak.

Perkhidmatan monorel diambil alih oleh Prasarana pada 2007 dalam program transformasi sistem pengangkutan awam negara dan monorel diletakkan bersama-sama dengan LRT di bawah satu payung.

Dengan jangkaan jumlah penumpang Monorel akan terus meningkat, Prasarana mengumumkan projek ‘KL Monorail Fleet Expansion Project’ (KLMFEP) pada tahun 2011 dengan rancangan untuk menggantikan semua tren dua-gerabak ini dengan tren empat gerabak apabila satu perjanjian dimeterai dengan Scomi Rail Berhad dimeterai pada akhir tahun itu.

Selepas pelbagai cabaran dan pemeteraian perjanjian dengan Scomi Transit Project (STP) pada bulan April tahun lepas, projek berkenaan dihidupkan semula dengan lima tren empat-gerabak kini digunakan untuk operasi bersama dengan enam set tren dua-gerabak yang terdahulu sejak pertengahan tahun lepas.

Melahirkan rasa gembira dengan prestasi kelima-lima tren empat gerabak itu, Mohd Ariffin menambah,baki tujuh lagi tren akan dihantar secara berperingkat mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi Rapid KL Laluan Monorel, Mohd Ariffin Idris. Kredit Foto: Prasarana

Beliau turut melahirkan keyakinan ketika itu perkhidmatan monorel akan kembali menjadi komponen terpenting dalam transformasi sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.

Dengan penyambungan bersama perkhidmatan MRT Laluan Kajang di stesen Air Asia Bukit Bintang, Mohd Ariffin mengakui kemunculan rangkaian rel terbaharu negara itu memberi impak terhadap penggunaan perkhidmatan Monorel di samping saingan dengan perkhidmatan ‘e-hailing’ yang amat popular dalam kalangan warga kota.

“Kita (Monorel) tidak pernah melihat MRT sebagai saingan sebaliknya kami adalah supplement (menyokong) satu sama lain.

“Tambahan pula, dengan penggunaan pas perjalanan tanpa had My30, para pelanggan Rapid KL boleh menggunakan semua perkhidmatan rel dan bas Rapid KL tanpa had dan tanpa batasan. Hanya RM30 untuk penggunaan 30 hari.

“Apa yang lebih penting kepada kami adalah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam khususnya di pusat bandaraya,” ujarnya.

Mohd Ariffin berkata, ia bukan saja menjanjikan penjimatan daripada segi kos tetapi juga penjimatan masa perjalanan pengguna, sekali gus meningkatkan produktiviti individu dan organisasi secara keseluruhan.

Katanya, dalam aspek itu, perkhidmatan Monorel masih relevan dan perlu dikekalkan untuk manfaat puluhan ribu penggunanya di ibu kota.

Malahan, beliau juga menaruh harapan tinggi perkhidmatan Monorel dapat mengembangkan sayap perkhidmatannya ke bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Putrajaya yang disifatkannya cukup ideal kerana sebilangan infrastruktur telahpun dilaksanakan sebelum projek berkenaan ditangguh.

“Selain dapat menambah baik kualiti kehidupan rakyat, perkhidmatan monorel juga dapat mengelakkan mereka menghabiskan masa dalam kesesakan lalu lintas sekali gus menjimatkan kos perjalanan.

“Dengan 11 stesen dan jarak 8.6 km yang melalui kawasan-kawasan paling sibuk di bandaraya, laluan Monorel pernah mencatat sehingga 70,000 penumpang sehari.

“Catatan jumlah penumpang tertinggi yang paling tinggi baru-baru ini adalah 60,527 penumpang yang direkod pada 31 Disember 2019,” kata beliau. – MalaysiaGazette