Calon bebas, Prof. S. Sentharasekaran mendengar keluhan penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Kampung Baru Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Calon bebas, S Santharasekaran meluahkan keyakinan tinggi mampu mendapat 5,000 undian pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok.

Santhasekaran, 44, yang juga bekas guru itu berkata, kejutan boleh berlaku pada PRK dan berharap agar ramai pengundi akan keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, ia sebagai lambang rakyat sudah matang untuk memilih pemimpin terutamanya di kalangan generasi muda.

“Golongan ini merupakan generasi yang maju dalam era informasi global dan mereka adalah penentu untuk memilih yg terbaik pemimpin tempatan.

“Mereka seharusnya menyokong calon berwawasan dan bukannya politik berparti yangg hanya memilih kumpulan keluarga dan agenda parti yang tidak beretika.

Calon bebas, Prof. S. Sentharasekaran bercakap kepada media ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Kampung Baru Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2020.

“Jika memilih pemimpin yang betul untuk membawa perubahan, maka rakyat dalam landasan yang benar,” katanya.

Pada PRK DUN Slim, Santhasekaran akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) yang pertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.

Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding juga atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

Dalam kempennya selama ini, Santhasekaran yang juga aktivis alam sekitar beliau sering ditemai abang ipar, M Ganesan dan rakannya, S Alaga untuk berjumpa dengan pengundi di DUN Slim dengan hanya memandu kenderaan pacuan empat roda miliknya sendiri. – MalaysiaGazette