Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima ahli bukan Melayu secara sendirinya menjadikan parti itu tidak layak menyertai Muafakat Nasional (MN).

Ini kerana MN merupakan pakatan Melayu dan Islam, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional (PN),sebaliknya hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan demi menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan diumumkan Bersatu, wajar ahli UMNO yang menganggotai Kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, parti itu sedia meminda perlembagaan bagi membolehkan ahli bukan Melayu memegang jawatan dalam parti itu.

Tengku Razaleigh seterusnya berkata, anggota Kabinet dari UMNO perlu mengundur diri secepat mungkin supaya parti itu tidak membuang masa sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah lebih besar seperti kedudukan orang muda yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.

“Perkara sebesar ini sepatutnya dibawa ke perhimpunan agung parti tidak lama lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.