Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran selepas Program Minum Petang Bersama Pengundi India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Pejabat MIC Tanjung Malim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2020.

SLIM RIVER- Tindakan mendedahkan projek rundingan terus wajar didedahkan tidak kira kerajaan mana yang memerintah, kata Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Apa yang penting, ketelusan mesti ada, katanya.

“Apabila kita telus tiada masalah untuk didedahkan. Walaupun kita tidak berjanji rundingan terus akan dimansuhkan.

“Saya berpendapat mana-mana kerajaan yang memerintah perlu telus dan seandainya ada rundingan secara terus dilakukan, kerajaan perlu untuk beritahu kepada siapa diberikan secara telus,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mencabar Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk mendedahkan semua projek kerajaan yang diberi melalui proses rundingan terus semasa era Barisan Nasional (BN) dan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sekali.

Mengulas penerimaan masyarakat India terhadap BN di PRK Slim, Vigneswaran berkata, penduduk menerima baik dan berharap pengundi akan mengulangi kemenangan BN dalam beberapa siri PRK sebelum ini.

Beliau juga berpendapat, walaupun MIC tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) akan tetapi beliau berpendapat respon masyarakat terhadap kerajaan yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yaasin adalah baik.- MalaysiaGazette