Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah menyampaikan sumbangan di lokasi terakhir Program Prihatin Peladang di Masjid Sempang Kerayong, Jasin Melaka.

MELAKA – Prihatin dengan kebajikan para peladang dan golongan asnaf, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengorak langkah menghulurkan bantuan kepada kumpulan sasar menerusi program Prihatin Peladang di seluruh negara.

Untuk program hari ini sebanyak RM100,000 wakalah zakat perniagaan diagihkan oleh NAFAS kepada seramai 500 asnaf dalam kawasan Parlimen Jasin di sini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 keluarga di seluruh Malaysia yang dijangka diterima pada tahun ini.

Program itu, menurut beliau, membuktikan komitmen NAFAS dalam memastikan setiap keuntungan daripada aktiviti perniagaan dikongsi semula bagi manfaat ahli peladang dan golongan asnaf setempat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah menyampaikan ucapan pada lokasi terakhir Program Prihatin Peladang di Masjid Sempang Kerayong, Jasin Melaka.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan kos perbelanjaan seharian mereka,” katanya kepada pemberita pada program Prihatin Peladang Melaka di Masjid Sempang Kerayong dekat Rim di sini.

Pada program tersebut, Pejabat Parlimen Jasin turut menyumbang sebanyak 500 kit makanan

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhammad dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Ali Shikh Ahmad.

Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS, Saripol Baharin Karim (dua daripada kiri) hadir sama pada Program Prihatin Peladang Melaka..

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh majlis-majlis agama negeri kepada pengeluar zakat sebagai wakil untuk di- agihkan semula kepada asnaf.

Terdahulu, program selama dua hari itu diadakan di empat lokasi iaitu Masjid As-Sujaah, Merlimau yang melibatkan seramai 100 penerima, Masjid Al Muttaqin Kampung Tedong (100 penerima), Masjid Al Hasanah, Sungai Rambai (100 penerima) dan Masjid Simpang Kerayong (200 penerima). – MalaysiaGazette