Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Biar kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN)  membuat keputusan sama ada ingin mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dalam masa terdekat atau tidak.

Itu jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata perlu ada mandat bahau bagi menghapuskan label “kerajaan pintu belakang” kepada kerajaan PN.

“Tentu keputusan ini harus dibuat oleh pimpinan utama Perikatan Nasional. Saya pemain kecil sahaja, tidak boleh komen apa,” kata Saifuddin selepas mengadakan tinjauan persiapan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke 63 di Dataran Pahlawan hari ini.

Beliau berkata sebarang keputusan yang akan dicapai oleh kerajaan harus mengikut keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Menteri Kabinet ikut (keputusan) Perdana Menteri sahaja,” katanya lagi.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memerlukan mandat baharu.

Ini kerana katanya, ia perlu dibuat bagi mengelakkan pelbagai tuduhan terus dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata, kerajaan yang ada pada hari ini tidak mempunyai pilihan selain menyegerakan untuk rakyat menggunakan kuasa memilih tampuk pemerintahan yang dimahukan.

PN yang mempunyai sokongan tipis di Dewan Rakyat dengan hanya 113 kerusi berbanding 109 kerusi pembangkang membuatkan kerajaan dilihat tidak stabil dan akan terus dipersendakan sebagai kerajaan pintu belakang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PN terbangun pun dari kuatnya sokongan Muafakat Nasional. Jadi, kerana kedangkalan PPBM yang menganak tirikan UMNO yang kuat menyokong PN, maka moleklah PRU15 segera diadakan..

Comments are closed.