Pengundi pertama, Sharudin Hussin, 75, menunjukkan jari berdakwat kekal selepas selesai membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Trolak Pekan, Perak. foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Seorang warga emas, Sharudin Hussin, 75, tidak menyangka menjadi menjadi individu pertama membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Trolak, Trolak Pekan hari ini.

“Alhamdulillah saya sudah selesai mengundi dan sekarang mahu pergi kenduri di Johor pula,” katanya yang dari Kampung Batu 4, Trolak.

Shahrudin berkata, pengorbanannya yang sanggup bertolak lewat ke kenduri anak saudaranya di Johor Bharu berbaloi semata-mata mahu menunaikan haknya memilih wakil rakyat.

Beliau datang bersama anaknya, Hishamudin, 50, dan adik perempuannya, Rabeah, 63, seawal 7.30 pagi untuk menjadi pengundi pertama.

“Saya memang teruja juga jadi orang pertama mengundi dan saya beritahu keluarga di sana (Johor) akan pergi mengundi dulu sebelum pergi kenduri.

Pengundi pertama, Sharudin Hussin, 75, menunjukkan jari berdakwat kekal selepas selesai membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Trolak Pekan, Perak. foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2020.

“Pergi kenduri lambat sikit pun tidak mengapa, mereka akan faham dan boleh tunggu. Lagipun sekejap sahaja sebab itu saya datang ke pusat mengundi awal pagi,” katanya.

Shahrudin turut mengakui mengundi dalam suasana normal baharu bukan sesuatu yang lura biasa baginya kerana sudah biasa dengan situasi itu gara-gara pandemik Covid-19.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette