Thiago Silva.

LONDON – Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea telah berjaya mendapatkan Thiago Silva secara percuma selepas pemain pertahanan itu menandatangani kontrak selama setahun dengan pilihan sambungan setahun.

Pemain Brazil yang telah tamat kontrak bersama PSG itu akan menyertai seorang lagi pemain pertahanan baharu, Malang Sarr yang juga berjaya dibawa masuk ke Stamford Bridge secara percuma selepas meninggalkan kelab Perancis, Nice.

Selain itu, kelab London tersebut baru sahaja mendapatkan pemain pertahanan kiri, Ben Chilwell dari Leicester United dengan nilai yang dilaporkan kira-kira £50 juta.

Thiago Silva dalam kenyataannya di laman web berkata, dia bersedia untuk menyahut cabaran baharu beraksi di EPL buat kali pertama dalam kariernya.

“Saya sangat gembira dapat menyertai Chelsea terutamanya berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada skuad bimbingan Frank Lampard bagi mengharungi musim baharu ini. Saya di sini untuk hadapi cabaran baharu.

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia dalam kenyataannya mengatakan pihaknya sangat berbesar hari apabila dapat membawa masuk Silva yang telah terbukti reputasinya sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia.

Walaupun sudah berusia 35 tahun, Silva membuktikan dia masih pemain yang kompetitif bersama PSG selepas berjaya membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini sebelum tewas tipis 1-0 kepada Bayern Munich.

Dengan mempunyai sifat kepimpinan semula jadi, dia pernahg dipilih sebagai kapten pasukan ketika bersama PSG, AC Milan dan skuad kebangsaan Brazil. – MalaysiaGazette