Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) melihat persediaan akhir Sambutan Hari Kebangsaan 2020 ketika hadir pada raptai penuh di Dataran Pahlawan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka akan menyampaikan titah diraja sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada Isnin ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, majlis penyampaian titah tersebut mencatatkan sejarah tersendiri apabila ia merupakan kali kedua disampaikan YDPA sejak hari kebangsaan disambut negara ini.

“Yang di-Pertuan Agong dijangka tiba jam 8 pagi dan selepas itu kedua-dua baginda tuanku akan berangkat ke dalam dewan dan akan ada titah diraja.

“Itu acara kemuncak untuk tahun ini. Ini kali kedua dalam sejarah negara apabila kali pertama titah diraja dibacakan 50 tahun yang lalu oleh Yang di-Pertuan Agong keempat mengisytiharkan Rukun Negara.

“Ini ulang tahun ke 50 Rukun Negara jadi ada titah daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas meninjau persediaan akhir Sambutan Hari Kebangsaan 2020 ketika hadir pada raptai penuh di Dataran Pahlawan hari ini.

Saifuddin berkata, sambutan kali ini dibuat secara sederhana kerana penularan Covid-19.

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1 di sini pada 31 Ogos ini.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan untuk berangkat hadir pada sambutan hari kebangsaan itu. – MalaysiaGazette