Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Usul Lim Guan Eng untuk merujuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bersifat politik.

Ahli Parlimen Bagan didakwa cuba mengalih pandangan awam kepada masalah yang sedang dihadapi oleh DAP, kata Pegawai Tugas-Tugas Khas (Parlimen) kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Lim Wei Urn berkata, Mohamed Azmin telah menegaskan Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan(PH) pada 5 September 2018 telah bersetuju supaya Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) namun tidak menetapkan tempoh khusus untuk ratifikasi tersebut.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat telah menolak usul Guan Eng berdasarkan fakta-fakta yang telah dikemukakan untuk pertimbangannya.

Ahli Parlimen Bagan diminta menggalas tanggungjawab untuk memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan Covid-19 dan mesti hentikan politik sempit yang akan merugikan rakyat dan negara.

Semalam, Guan Eng dalam kenyataannya berkata, Mohamed Azmin selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memilih untuk tidak melaporkan fakta tertentu ketika beliau memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan PH meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Tambah Guan Eng, ini bukanlah kebenaran sepenuhnya kerana keputusan terakhir Kabinet Pakatan Harapan adalah untuk tidak meratifikasikan perjanjian tersebut.

“Ya, kita setuju meratifikasinya tapi pada 5 September 2018. Tetapi keputusan Jemaah Mennteri baharu telah dibuat pada 29 November 2018 iaitu supaya tidak meratifikasi CPTPP,” ujar bekas Menteri Kewangan itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.