Walaupun kes jangkitan COVID-19 tinggi dan aktiviti hiburan masih dilarang, ada individu mengambil risiko mengunjungi sebuah pusat hiburan karaoke di Jalan Ampang untuk berhibur, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) semalam menahan 45 daripada 84 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atas kesalahan aktiviti kelab malam.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob , seramai 17 orang ditahan kerana melanggar peraturan mencatit rekod keluar masuk, 10 individu tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa (2),beroperasi tanpa lesen (1), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai
yang menyukarkan penjarakan sosial (7) serta dua tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Semalam (29 Ogos 2020), PDRM telah menahan 84 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 55 individu telah dikompaun manakala 27 individu pula direman dan 2 individu dijamin,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Ismail berkata, 4,798 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di pelbagai premis termasuklah terminal pengangkutan darat,pengangkutan air dan udara.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 62 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dilakukan di seluruh negara semalam yang memeriksa 28,309 kenderaan bagi mengekang PATI terutama di lorong-lorong tikus.

Bagaimanapun ujarnya, tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tambah Ismail.

Polis juga ujarnya, tidak lupa membuat pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib di rumah (home quarantine).

“PDRM telah mengadakan 418 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua individu yang dikuarantin telah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette