Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan mana-mana rakyat Malaysia yang mahu menyertai parti ini sebagai ahli biasa atau ahli bersekutu.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perlembagaan Bersatu telah pun memperincikan perihal berkaitan ahli bersekutu seperti dalam Fasal 7 (Keahlian), Fasal 8 (Pendaftaran Keahlian) dan Fasal 9 (Tanggungjawab dan Hak Ahli).

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga sedang mengkaji cadangan untuk menubuhkan Badan Ahli Bersekutu yang akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti.

”Oleh yang demikian, kenyataan dari beberapa pihak yang mendakwa Bersatu telah lari daripada matlamat asal dengan membuka keahlian kepada bukan bumiputera adalah tidak tepat,” katanya.

Ini kerana, katanya, sebagai sebuah parti politik yang berpandangan jauh dan inklusif, Bersatu mengiktiraf sumbangan serta peranan ahli bersekutu dan akan terus memperkasakan penglibatan dalam kalangan mereka dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette