Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 kes baharu positif jangkitan Covid-19 dan terdapat 10 kes pulih dilaporkan hari ini.

Berikutan itu, jumlah kes positif meningkat kepada 9,334 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 160 kes manakala sebanyak 9,048 kes pulih atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 17 kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 15 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

“Daripada 15 kes import berkenaan 12 kes adalah dari India dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), dua lagi kes dari Arab Saudi turut dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan satu kes dari Jepun di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, satu kes dikesan di Selangor iaitu kes saringan kontak rapat kes positif ke-9286 manakala satu lagi kes warga tempatan dalam negara adalah dilaporkan di Kedah iaitu kes saringan kontak rapat kes positif ke-9284.

“Justeru sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mengesan satu kes kematian berkaitan Covid-19 di Kedah semalam menjadikan Jumlah kumulatif kematian berkaitan Covid-19 meningkat kepada 126 kes.

Ia merupakan kes pertama dalam tempoh sebulan yang mana  pada 31 Julai lalum kes ke-125 dilaporkan di Sabah membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 64 tahun.

Menurut Noor Hisham, kes kematian ke-126 (kes ke-9290) itu merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) dan penyakit jantung dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Beliau mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru (pneumonia).

“Beliau kemudian discaj dari hospital pada 18 Ogos 2020 namun mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos 2020 dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos 2020 di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos 2020 jam 5.10 petang,” katanya. – MalaysiaGazette