SEOUL – Korea Utara menyiarkan nombor misteri, yang diandaikan sebagai kod mesej di halaman YouTube untuk perisiknya di Korea Selatan buat pertama kali semalam.

Satu klip video yang disiarkan pada akaun YouTube Radio Pyongyang kendalian kerajaan yang mana seorang pengacara perempuan membaca apa yang disifatkan sebagai ‘satu tugasan kajian semula teknologi maklumat pendidikan universiti untuk ejen ekspidisi No. 719’, lapor agensi berita, Yonhap.

Beliau berulang kali menyebut perkataan seperti ‘No. 23 on Page 564, No. -19 on Page 479’ untuk tempoh seminit dalam hantarannya yang ditonton sebanyak 2,500 kali sehingga pukul 11 pagi. Perkataan tersebut tidak disiarkan di radio.

Sejak era Perangn Dingin, Korea Utara telah menyiarkan apa yang disifatkan sebagai nombor rawak di radio, dan yang terbaharu ia disiarkan pada 7 dan 13 Mac lalu.

Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama Pyongyang menggunakan platform perkongsian video global untuk menghantar apa yang disifatkan sebagai kod mesej. – MalaysiaGazette