Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menemui mayat seorang pemuda berusia 21 tahun disyaki terjatuh dan maut di dalam longkang berhampiran Taman Vista Valley, Semenyih, Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mayat ditemui dalam keadaan tanpa baju dan berseluar pendek dengan badan dilitupi lumpur.

Menurutnya pihak ibu pejabat polis Kajang menerima maklumat penemuan mayat itu menerusi panggilan MERS 999 kira-kira jam 8.23 malam semalam.

“Si mati dikatakan sedang minum dan mabuk, sebelum kejadian.

“Pada masa yang sama saksi kejadian menyatakan bahawa si mati telah terima panggilan telefon dan berdasarkan perbualan itu, si mati marah kepada pemanggil dan berlalu dari lokasi minum itu.

“Saksi menyatakan si mati tidak pulang ke rumah selepas itu sehinggalah mayatnya dijumpai dalam longkang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis dengan bantuan unit forensik telah membuat pemeriksaan pada badan si mati dan hasil pemeriksaan tidak dapat memastikan punca kematian.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat manakala kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut (SDR).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Ketua Polis Balai Semenyih di talian 0387275222 atau mana-mana Balai Polis berdekatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette