Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap kepada media selepas melawat kawasan parit yang sering dinaiki air apabila hujan lebat ketika mengadakan lawatan kerja sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Kampung Baru Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2020

SLIM RIVER – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim memperlihatkan kaum Cina kembali mengundi Barisan Nasional (BN) apabila memenangi tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang majoritinya kaum itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata, di PDM Sungai Slim Utara yang mempunyai 1,277 orang pengundi Cina iaitu 60.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi, majoriti BN menang 304 undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila parti kalah 943 undi.

Jelas beliau, senario sama berlaku di di PDM Pekan Slim yang mempunyai 707 orang pengundi Cina iaitu 22.9 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.

Katanya, majoriti BN menang 694 undi berbanding PRU14 apabila parti itu kalah 662 undi.

“Di PDM Kuala Slim yang mempunyai 242 orang pengundi Cina iaitu 12.4 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi, majoriti BN menang 767 undi berbanding PRU14 di mana BN kalah 44 undi.

“Ini mesej jelas, ini mesej lantang dan kita dalam BN pasti akan menghargai mesej rakyat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong turut mengucapkan tahniah kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz atas kemenangan besar dalam PRK DUN Slim itu.

“Terima kasih pengundi di DUN Slim kerana memberikan mandat besar kepada calon Barisan Nasional.

“Syabas dan terima kasih kepada seluruh jentera BN, Pas, PPBM dan Friends of BN yang bekerja keras selama tempoh berkempen.

“Kemenangan dengan majoriti besar ini membuktikan bahawa rakyat tidak lagi yakin dan terpedaya dengan janji palsu parti pembangkang,” katanya.

Malam tadi, BN menerusi Mohd Zaidi mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim selepas diumum menang dengan majoriti bergaya dalam PRK kali ini.

Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran yang memperoleh 276 undi.

Mohd Zaidi yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi berikutan 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pengundi Cina nampknya yakin dgn Wee ka siong atau MCA bhwa UEC dan sk vernakular akan di iktiraf dan dipertahankn..tdk spt PH yg mna manifesto utk mengiktiraf UEC tdk ditunaikn, malah cuba nak menghapuskn identiti SJKC dgn memprkenalkn jawi..pengundi cina amat yakin dgn ucapn menteri perpaduan diparlimen bhwa sjkc tdk akn dihapuskn malah akn membina 10 buah sjkc akan dtg..tahniah PN

  2. Yang ni kena hati2, pagi pilih lain petang nanti akan pilih lain pula!

    Bak kata seorang blogger terkenal, mereka mengibarkan bendera lain disiang hari kemudian mengibarkan bendera lain pula dimalam hari!

    Hati2!!!

Comments are closed.