Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR- Isu yang melibatkan sekolah vernakular telah didebatkan sejak sekian lama.

Perbezaan pendapat di antara kumpulan penyokong supaya sekolah aliran tersebut dihapuskan dengan kumpulan yang mahu ianya diteruskan tidak pernah lelah memperjuangkan pegangan masing-masing.

Malah seringkali isu membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) ini dikaitkan dengan rasisme dan keuntungan politik bagi pihak yang mahu menangguk di air keruh.

Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, masalah sebenar dengan sekolah vernakular terutamanya SJK Cina adalah mengenai identiti bangsa Malaysia dan kepentingan negara.

Ianya bukan satu masalah perkauman meskipun kebanyakan media terutamanya yang didokong oleh bangsa Cina melihat isu ini sebagai isu rasisme.

“Masalahnya adalah dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Bukan sekolah-sekolah kebangsaan.

“Media-media yang didokong oleh bangsa Cina cuba mengubah naratif isu ini.

“Ianya bukan masalah perkauman kecualilah media tersebut mahu ianya dilihat sedemikian.

“Ini adalah masalah negara.

“Kerajaan terdahulu tidak bertindak di atas kepentingan nasional. Mereka lebih obses untuk mendapatkan undi.

“Apakah kita mahu membiarkan perbezaan ini sebagai sebuah retorik?

“Identiti kebangsaan adalah inklusif seperti mantra yang sering digunakan iaitu inklusif dan pelbagai kaum.

“Semua kaum perlu menyesuaikan diri dengan identiti Malaysia termasuklah penaja-penaja SJKC di Malaysia.

“Sekali lagi, ini adalah isu negara dan bukannya perkauman,” tegasnya.

Isu sekolah vernakular kembali hangat apabila awal minggu lalu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique memberitahu Parlimen, sekolah jenis kebangsaan tidak akan dihapuskan bagi mencipta perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehari kemudian, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengeluarkan kenyataan, Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diketuainya menolak cadangan tersebut dan bertegas sekolah vernakular perlu dihapuskan secara berperingkat.

Ini menurut beliau, sekolah aliran tersebut tidak mampu menghasilkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aku sokong 1000% timbalan menteri KBS..sbb skolh jenis kebngsaan lh punca byk mslh perpaduan di mlysia tidak dpt di laksanakn..hrap kerjaan tgok blik kewujudan skolh SKJ di mlysia..demi utk perpaduan berjaya.

Comments are closed.