Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan walaupun sedang meraikan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di sebalik keriangan sambutan hari kebangsaan, orang ramai tidak sepatutnya lupa bahawa negara masih belum bebas sepenuhnya dari cengkaman Covid-19.

“Biarpun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana dalam suasana norma baharu kerana negara belum bebas sepenuhnya dari ancaman pandemik Covid-19, namun setiap daripada kita bebas mengekspresikan semangat cintakan negara.

“Dalam keriangan meraikannya, jangan pula kita lupa bahawa kita masih belum merdeka daripada ancaman virus Covid-19 kerana ia masih lagi berada di sekeliling kita.

“Sentiasa amalkan kawalan kendiri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan membudayakan amalam norma baharu dalam setiap
aktiviti harian,” katanya dalam kenmyataan hari ini.

Katanya, rakyat perlu terus memberi kekuatan dan kerjasama kepada kerajaan untuk memerangi Covid-19 secara total dan menegaskan ia tidak akan berjaya tanpa komitmen rakyat. – MalaysiaGazette