Ismail Abd. Muttalib

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap mahukan pembelaan terhadap kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di kuil tahun lalu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana mengizinkan siasatan semula dilakukan oleh pihak polis berhubung kes tersebut bagi menentukan siapa yang bersalah dalam insiden yang meragut nyawa Adib.

“Namun, apa yang jadi mendukakan untuk kita. Adib telah pergi meninggalkan kita dan itu satu pengorbanan yang besar. Kita serahkan kepada polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Sambutan Hari Kebangsaan peringkat KPKT tahun 2020, di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.

Khamis lalu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya menaruh harapan yang tinggi terhadap usaha mencari keadilan ke atas Allahyarham Muhammad Adib yang kini di peringkat Peguam Negara.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya sedang menunggu keputusan daripada pejabat berkenaan berhubung penemuan-penemuan dan kehakiman terakhir bagi mendapatkan keadilan sewajarnya dalam membela kematian arwah Adib.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada bertemu dengan KPKT untuk memnbincangkan langkah seterusnya yang boleh diambil, Muttalib bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

Katanya, beliau tidak mahu mencampuri urusan berkaitan kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri kerana masing-masing mempunyai bidang tugas tertentu.

“Kita tak menentukan siapa yang salah, tapi penyiasatan dan juga mahkamah akan menentukan,” ujarnya – MalaysiaGazette

Bomba menaruh harapan tinggi cari keadilan kes Adib

2 Komen

  1. Seperti ada yang tak kena dengan kes ini, ianya sangat panjang dan sehingga kini tiada sebarang kemajuan!

    Apa sudah jadi dengan proses komital menghina mahkamah oleh bekas peguam negara? Ada apa2 perkembangan?

    Diharap sebuah RCI dapat ditubuhkan untuk menyiasat ketelusan perjalanan kes ini!

Comments are closed.