ANKARA – Turki memulakan langkah awal untuk berada di angkasa dengan menghasilkan roket yang menggunakan sumber tempatan, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan sambil menambah para jurutera akan menguji roket menggunakan bahan bakar cecair tidak lama lagi.

“Roket ujian pertama kami dihasilkan dengan menggunakan teknologi tempatan telah mencapai ketinggian 130 kilometer, melepasi aras 100 kilometer dan oleh itu ia merupakan langkah awal ke angkasa.

“Kini kami berada pada ‘liga aeroangkasa’, terima kasih kepada teknologi nasional dan peralatan buatan tempatan,” kata Erdogan pada majlis pelancaran Pusat Penyelidikan Roketsan untuk sistem angkasa, pelancaran roket dan teknologi terkini di Ankara.

Turki telah menguji roket pertamanya yang meggunakan bahan bakar pepejal, manakala ujian untuk rioket yang menggunakan bahan bakar hibrid masih dilakukan, kara Presiden itu, lapor Hurriyet Daily.

Satelit awal Turki akan dilancarkan dan diletakkan di orbit yang mana ia akan menyediakan komunikasi antara unit tentera dengan menyediakan maklumat pada masa sebenar dan koordinasi yang tepat, kata Erdogan sambil menambah, ia akan memberi keupayaan yang besar kepada angkatan tentera negara itu dalam masa aman dan perang.

“Sejak 18 tahun, kami mampu menghidupkan kembali industri ketenteraan kami, yang lumpuh (ketika kerajaan terdahulu). Kami telah mengurangkan kadar kebergantungan kepada pengeluar asing kepada 30 partus daripada 70 peratus,” katanya.

Erdogan berkata, industri pertahanan Turki telah menjadi salah satu industri tebaik di dunia.

Katanya: “Kami mempertahankan hak kami dengan ketetapan penuh dari Syria ke Iraq, dari Libya ke Mediterranean Timur. Bagaimanapun untuk menjadikannya berjaya secara tetap memerlukan peningkatan tahap,”.

Turki tidak akan membeli sebarang peralatan industri ketenteraan yang boleh dihasilkan di negara itu dengan menggunakan sumber tempatan, kata Erdogan. – MalaysiaGazette