Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Mohd Nazri Abdullah berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sabah.

KOTA KINABALU – Sejumlah RM598,000 diperuntukkan kepada semua Pertubuhan Peladang di Sabah bagi melancarkan pergerakan aktiviti masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM130,000 disalurkan kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah manakala 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing menerima RM18,000.

Perkembangan terbaharu itu dinyatakan oleh Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang di Sabah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Mohd Nazri Abdullah.

“Peruntukan yang diterima PPN Sabah itu merupakan agihan wakalah zakat perniagaan NAFAS kepada setiap PPN yang berjumlah RM80,000 manakala RM50,000 pula sebagai geran bagi penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan.

“Penyaluran sumbangan ini secara tidak langsung membuktikan komitmen NAFAS di peringkat induk dalam memastikan pengukuhan institusi Peladang,” katanya.

Dato’ Nazilah Abd Latif menyampaikan replika cek sumbangan bernilai RM18,000 kepada wakil dari PPK Kota Maradu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada PPN dan PPK di Sabah yang berlangsung kelmarin.

Hadir sama, Ahli-ahli Jemaah Pengarah NAFAS; Dato’ Nazilah Abd. Latif, Datuk Abd Rahman Bakri, Mohammad Bahrin Abdul Karim dan Huzaini Ramli.

Huzaini Ramli menyampaikan replika cek sumbangan kepada PPK Kalabakan.

Mohd Nazri yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sabah berkata, sumbangan ke setiap PPK pula melibatkan sumbangan wakalah zakat perniagaan berjumlah RM10,000 dan RM5,000 sebagai bantuan khas bagi meringankan beban ahli-ahli peladang yang terjejas akibat COVID-19.

Manakala RM3,000 lagi merupakan geran pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan bagi setiap PPK.

“Agihan wakalah & sumbangan yang disampaikan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua kumpulan sasar terutamanya di negeri Sabah,” katanya. –  MalaysiaGazette